New Year 2010


TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM  SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita memasuki tahun baru Masihi 2010 dengan perasaan gembira dan penuh bersyukur.

Demikian juga, jangan lupa untuk bersyukur, kerana negara berjaya melalui liku-liku tahun 2009 dengan penuh cekal, sekalipun sedikit mengalami kejutan, berupa beberapa kejadian yang jarang-jarang berlaku, seperti banjir dan tanah susur dan kemudian menyusuli pula influenza ‘A’ (H1N1).

Ini semua mempunyai hikmah, selaku isyarat, supaya kita sentiasa bijak dan siap siaga menanganinya.

Di antara cara yang bijak itu ialah menyiapkan diri dengan perancangan-perancangan besar, dan tidak mengapa, kalau perancangan-perancangan itu diasaskan kepada senario kes terburuk (worst-case-scenario), kerana dengan cara itu, persediaan kita akan lebih kemas lagi bagi menghadapi cabaran dan keadaan-keadaan mendatang.

Di sebalik ujian-ujian tadi, kita mungkin menyedari, bahawa beberapa pencapaian telah turut kita raih di sepanjang tahun 2009.

Antaranya kita telah dan sedang mengorak langkah bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan sebagai usaha ke arah jaminan keselamatan makanan atau ‘food security’ di negara ini.

Beta gembira, kerana usaha yang digerakkan oleh kerajaan ini, nampak-nampaknya berjaya menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama aktif dalam bidang pertanian. Beta ada mendengar, ramai kini yang suka dipanggil petani, mengusahakan tanah-tanah mereka yang dahulunya hanya terbiar. Ini tidak syak lagi, adalah satu perkembangan yang amat menggalakkan bagi negara.

Di samping itu, sudah terdapat juga dari kalangan anak tempatan yang sedang giat melaksanakan pelbagai usaha dalam industri pemakanan dan malah sudah ada yang mampu tampil menyertai ekspo-ekspo serantau dan antarabangsa untuk mempromosikan barangan keluaran mereka.

Semua ini adalah jalan-jalan kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

Mengenai kesejahteraan ini, mulai esok, 1 Januari 2010, kita akan menguatkuasakan Skim Persaraan Caruman Tambahan atau SCP bagi kedua-dua sektor awam dan swasta, khususnya bagi mereka di bawah Skim Tabung Amanah Pekerja atau TAP, yang juga ada kaitannya dengan pertambahan umur persaraan kepada 60 tahun.

Kerajaan beta adalah komited bagi menjalankan sebarang kajian terhadap apa jua dasar, demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Dalam hubungan ini, beta percaya masih ada ruang untuk meneliti dan memperkenalkan skim-skim penabungan alternatif atau tambahan bagi menampung keperluan-keperluan asas, pada misalnya keperluan perumahan.

Dalam usaha-usaha pembangunan, semua ini adalah turut menjadi perhatian.

Kerana itu beta mengalu-alukan langkah-langkah pembaikan yang telah dan sedang diambil sejauh ini bagi mempercepatkan dan mempermudahkan lagi semua urusan orang ramai, termasuk yang berkaitan dengan urusan-urusan memulakan perniagaan.

Dengan adanya pembaikan-pembaikan seperti ini, tidak mustahil kedudukan negara dalam senarai ‘Ease of Doing Business’ boleh meningkat lagi.

Menurut International Financial Corporation, World Bank, bagi tahun 2010, negara kita berada dalam kedudukan yang ke-96 dari sejumlah 183 negara yang dinilai.

Jika negara memenuhi etika perkhidmatannya yang telus tanpa pilih kasih dan rasuah, maka insya-Allah, apa jua yang dirancang dan diusahakan akan berjalan dengan lancar dan berkat.

Inilah integriti yang perlu ada Perkhidmatan Awam, tanpa integriti ini, sesebuah negara boleh runtuh, atau paling tidak, akan kehilangan daya membangunnya.

Dalam kesempatan ini, beta ingin juga menyebut mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa. Di sudut ini, kita juga tidak boleh lari melainkan mesti sama-sama menghadapi pelbagai cabaran atau dugaan.

Yang paling penting bagi kita ialah membina sikap untuk terus berbaik-baik dengan semua negara sahabat di dunia.

Prinsip ini kita pegang, selaras dengan ajaran agama kita sendiri, yang menghendaki umatnya supaya saling berkenalan dengan semua bangsa dan kaum di dunia.

Namun perkenalan itu hendaklah diikat oleh prasyarat ‘hormat-menghormati’. Dalam erti kata, kita menghormati sahabat dan sahabat menghormati kita.

Ini diterjemahkan melalui pelbagai tindak-tanduk, termasuk perkataan, tulisan dan seumpamanya.

Apa-apa jua yang boleh menyinggung perasaan sahabat, semua itu dapat saja dianggap sebagai tidak memenuhi prasyarat tersebut.

Akhir sekali, beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala usaha mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Di kesempatan ini juga, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2010 kepada seluruh rakyat dan penduduk, dan mengajak mereka untuk sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala melimpahkan rahmat dan pemeliharaan-Nya kepada kita dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a comment